Isnin, 25 Jun 2012

PRU13: Kemenangan Dr Morsi inspirasi buat PAS



5 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kemenangan Dr Mohamed Morsi (gambar) sebagai Presiden Mesir sebagai inspirasi buat PAS bagi memimpin kebangkitan rakyat dalam PRU13.

“DPPM percaya kemenangan ini menunjukkan bahawa trend dan gelombang perubahan telah semakin diterima oleh rakyat seluruh dunia dan trend ini sedang menular pula ke negara ini,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Justeru, kata beliau jentera dan penyokong PAS di seluruh negara menyambut kemenangan ini dengan bertakbir dan bersyukur serta menaikkan semangat mereka bekerja bagi menghadapi pilihan raya di negara ini pada bila-bila masa.

Katanya, DPPM juga merasa bersyukur dan mengucapkan tahniah di atas kemenangan Dr Mohamed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baru.

“Kemenangan ini wajar buat rakyat Mesir yang telah terjajah lama di bawah rejim Hosni Mubarak yang bertindak zalim terhadap rakyatnya,” katanya.

Katanya, Rakyat Mesir juga bergelut dengan krisis kepimpinan yang berlarutan sejak kejatuhan Hosni Mubarak sehingga telah membunuh beribu rakyatnya.

Bagi DPPM, ujarnya tidak ada apa yang lebih memaniskan selain apabila rakyat Mesir memilih jalan demokrasi yang sebenar dalam pemilihan kepimpinan mereka.

“Keputusan yang dianggap adil dan telus telah menyaksikan rakyat memilih Dr Mohammed Morsi sebagai Presiden dengan mengalahkan Ahmed Shafiq mewakili proksi rejim terdahulu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, demokrasi yang tulen dan telus adalah jalan keluar bagi mereka yang mencari keadilan dalam sesebuah negara, dan Mesir telah berjaya mendapatkannya.

“DPPM mendoakan supaya negara Mesir menjadi aman, makmur dan adil di bawah pemerintahan Dr Mohammed Morsi.

“DPPM juga mengharapkan supaya rakyat di sana turut mendoakan supaya angin perubahan ini melanda negara ini dengan kemenangan mutlak kepada Pakatan Rakyat pula dalam PRU ke 13,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan